Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun telah didakwa membunuh kerana menembak muka ibunya dari jarak dekat semasa dia sedang mencuci pakaian
Kanak-kanak itu menembak ibunya, Quiana Mann, 44, dari jarak tiga kaki di kediaman mereka di Milwaukee hanya kerana mangsa enggan membeli 'virtual reality headset'.
Sehari selepas kejadian, dia menggunakan akaun Amazon mangsa untuk membeli headset Oculus VR yang berharga antara $130 (RM571) hingga $500 (RM2,197) sebelum memohon maaf kepada neneknya kerana telah membunuh ibunya dan bertanya di mana barangannya yang telah dipesan dari Amazon.
Menurut ahli keluarga mangsa, kanak-kanak itu mempunyai isu dalam mengawal kemarahan diri dan mendengar bisikan orang khayalan, telah didakwa membunuh dan serta akan dibicarakan sebagai orang dewasa.
Pada awalnya, kanak-kanak itu memaklumkan kepada polis bahawa tembakan itu adalah satu kemalangan yang tidak disengajakan. Dia mendakwa, Mann berjalan di hadapannya semasa dia sedang mengacukan senjata itu ke dinding untuk menakutkan ibunya. Secara tidak sengaja, dia telah tertarik picu dan tertembak kepala mangsa.
Bagaimanapun dalam kenyataan lain, kanak-kanak terbabit mengaku dia sengaja mengacukan senjata itu pada ibunya sebelum melepaskan tembakan dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 7 pagi, 21 November lalu.
Selepas melepaskan tembakan itu, dia terus menyimpan pistol tersebut di dalam almari dan memberitahu kakaknya, Brianna Moore, 26, bahawa ibunya telah meninggal dunia, sebelum menghubungi talian 911.
Undang-undang Wisconsin menetapkan, kanak-kanak seawal usia 10 tahun didakwa sebagai orang dewasa bagi kes jenayah yang serius, walaupun peguam kanak-kanak lelaki itu boleh cuba memindahkan kes tersebut ke mahkamah juvana.
Sementara ibu saudaranya berkata, kanak-kanak itu mempunyai masalah kesihatan mental dan pernah menunjukkan tingkah laku yang tidak normal sebelum ini.
Ketika berusia empat tahun, kanak-kanak itu pernah menghayun anak anjing dengan ekornya, selain membakar perabot dan permaidani. Apabila ditanya mengapa dia berbuat demikian, kanak-kanak itu berkata, 'dua adik perempuan menyuruh dia melakukannya'.
Kanak-kanak itu pernah memberitahu dia bercakap dengan lima orang khayalan iaitu dua beradik perempuan, seorang wanita tua dan dua lelaki 'kejam'.
Kanak-kanak itu dijangka hadir di mahkamah pada 8 Disember dan ditahan dengan bon $50,000. Dia berdepan dengan hukuman penjara sehingga 60 tahun jika sabit kesalahan apabila dewasa.
Sumber: Daily Mail
0 comments:
Post a Comment