Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan diberitahu, Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) melaporkan sebanyak RM28.5 juta bil air gagal dibayar oleh penduduk negeri itu setakat 30 Sept lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Azami Mohd Nor, berkata faktor utama tunggakan adalah daripada pengguna domestik yang masih tinggi berjumlah RM18.4 juta dan kutipan sedikit perlahan kerana pengguna masih dalam peringkat pemulihan pasca-Covid-19.
“Tunggakan bil pengguna (aktif) AKSB hingga 30 Sept 2022 adalah RM28,543,688 dan ia telah jauh berkurangan berbanding dengan akhir 2021 (31 Dis 2021) yang berjumlah RM33,212,268,” katanya.
Beliau menjawab soalan Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) yang ingin tahu jumlah tunggakan bil pengguna AKSB dan penyebab kepada tunggakan tersebut berlaku pada Persidangan DUN Kelantan di Kota Darulnaim.
Menurut Azami, bagi meningkat hasil kutipan, AKSB telah menjalankan aktiviti penguatkuasaan kutipan secara berterusan di seluruh jajahan terutama yang tiada masalah bekalan air bersih pada tahun ini dan menyediakan pelbagai medium kutipan termasuk melalui bank dan ejen kutipan.
Menjawab soalan tambahan Hilmi Abdullah (PAS-Guchil) yang bertanyakan sama ada kerajaan mahu memberi bekalan air percuma kepada asnaf di Kelantan, beliau berkata pihaknya sentiasa membantu penduduk yang memerlukan.
“Kita menyediakan 30 lori sewa khas yang bersedia untuk mengagihkan bekalan air percuma kepada asnaf di semua kawasan sejak April 2020 hingga Julai tahun ini dengan perbelanjaan berjumlah RM11.5 juta dan ini satu daripada tanggungjawab sosial kita,” katanya.
Sumber: Bernama
0 comments:
Post a Comment