UMNO akan memastikan calon yang dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah pemimpin yang mempunyai disiplin tinggi, tidak 'besar kepala' serta berani mempertahankan parti itu daripada diperlekehkan.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Top 5 UMNO bakal memilih calon yang tidak bersuara sumbang terhadap kepemimpinan mereka sendiri, selain mempunyai sokongan akar umbi kuat tanpa mengira tempat bertanding.
"Sudah tibanya UMNO yang mahu kestabilan dalaman UMNO dan memastikan tidak akan muncul suara-suara sumbang daripada UMNO yang mengkritik UMNO sendiri selepas pilihan raya umum nanti. Ini bermakna pemilihan calon UMNO pilihan raya kali ini sangat mustahak.
"Tugas ini amat mencabar bagi Top 5, namun bagi kestabilan politik masa depan, keharmonian parti, disiplin parti supaya pisang tidak berbuah dua kali maka kali ini, UMNO amat serius bagi memastikan calon terbaik itu mempunyai jiwa dan roh UMNO yang luhur," katanya dalam catatan di Facebook, hari ini. Ahmad Zahid berkata, UMNO mahu individu yang dipilih sebagai calon benar-benar meletakkan keutamaan pada perjuangan parti itu dan Barisan Nasional (BN) dan bukannya perjuangan individu melebihi parti.
"Mana-mana berkepala besar, berasa dirinya lebih besar daripada perjuangan parti sewajarnya tahu kedudukan dirinya.
"Ada yang ketika pembubaran Parlimen baru sedar bahawa dirinya sebenarnya milik parti, segala yang dinikmati termasuk jawatan yang pernah dipegang sebab atas dasarnya dirinya adalah ahli UMNO, bukannya ahli atau mewakili suara BERSATU atau PAS mahu pun parti lain di luar," katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN mengakui banyak perkara yang dipelajari oleh BN daripada kekalahan pada 2018 dengan yang utama ialah kesedaran mengenai erti kesetiaan terhadap parti.
"Ketika itulah BN diuji apabila ramai pemimpin UMNO lari lintang-pukang menyelamatkan diri. Ada yang melompat parti, ada yang menjadi pengkhianat parti, terdapat juga menjauhi diri daripada UMNO. Ini perit bagi UMNO akan tetapi ia juga suatu hikmah kepada UMNO.
"Pembersihan dalaman UMNO berlaku secara automatik apabila golongan oportunis ini dapat dikenal pasti melalui sikap, kenyataan dan tindak tanduk mereka," katanya menambah ia sekurang-kurangnya dapat menjadi petunjuk arah penting dalam konteks pemilihan calon BN.
Sumber: Bernama
0 comments:
Post a Comment