Foto The Edge |
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dilaporkan telah menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 26 Ogos 2020, berhubung samannya terhadap Nooryana Najwa, bagi mendapat RM10.3 juta cukai pendapatan tidak dibayar.
Peguam yang mewakili anak bekas perdana menteri Najib Razak, Muhammad Farhan Muhammad Shafee berkata, secara keseluruhannya isu cukai itu telah diselesaikan.
Nooryana juga berkongsi mengenai perkara itu di akaun Instagramnya dan menyifatkan tindakan LHDN sebelum ini adalah tidak masuk akal.
"Kami sudah selesaikan kes cukai saya selepas ejen cukai saya dan LHDN meneliti kes dan mereka akhirnya setuju yang wang hantaran, nafkah daripada suami dan rumah yang dibeli sepenuhnya oleh mentua saya menggunakan wang di luar negara tidak boleh dicukai.
"Sama seperti kes cukai RM1.7 bilion bapa saya yang mengarut itu, satu-satu objektif kerajaan PH adalah untuk menganiaya keluarga saya melalui LHDN walaupun ia melanggar undang-undang dan peraturan, bergantung kepada salah guna klausa 'bayar dulu, bincang kemudian'," katanya.
24 Julai 2019, LHDN telah memfailkan writ saman terhadap Nooryana bagi menuntut RM10.3 juta cukai yang belum dibayar untuk taksiran 2011 hingga 2017.
Bagaimanapun, Nooryana mempersoalkan tindakan LHDN mengenakan cukai bagi wang yang didakwanya diberi oleh suaminya, Daniyar Kessikbayev dan keluarga.
Sumber: MalaysiaKini
0 comments:
Post a Comment